Blogger Templates

SELAMAT DATANG....

Khas untuk pembaca......segalanya untukmu

KHAS BUAT ANDA.....

Jumaat, 16 Mac 2012

GERHANA CINTA LUKA 3


EPISODE 3

    Mentari pagi memancarkan sinarnya menyuluh masuk kedalam bilik Andrea membuatkan gadis itu membuka matanya perlahan-lahan. Dia menggeliat beberapa kali, membetulkan urat bahu dan pinggangnya yang lenguh. Tidurnya semalam begitu lena, dia langsung tidak sedar apa-apa.
            Selimut ditolak perlahan, dia melangkah perlahan turun dari katil menuju kearah tingkap lalu ditolak perlahan sehingga daun tingkap terbuka luas. Langsir biru lembut yang menghias tingkap beralun lembut ditiup sang bayu, berkibar-kibar perlahan.




Pandangannya dialihkan kearah rumpun bunga rose putih yang hidup begitu subur dihalaman, kudup bunga sudah mula menampakkan wajahnya, pasti tidak lama lagi dia dapat melihat kelopak bunga berkembang mekar.
            Udara pagi terasa nyaman, angin mula bertiup sepoi-sepoi bahasa menggerakkan dedaunan, melambai-lambai. Andrea menarik nafas sedalamnya sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Embun pagi yang menitis membasahi hujung rumput, bersinar bak kristal tatkala mentari membiaskan cahayanya.
            Jalan kecil kawasan perumahan kelihatan lengang, tiada kelibat sesiapa yang melaluinya membuatkan Andrea mengerutkan dahinya, hairan melihat situasi itu. Selalunya waktu-waktu begini, pasti ramai yang sudah keluar rumah melakukan aktiviti masing-masing. Tapi hari ini begitu berlainan sekali, ada sesuatu yang buruk berlakukah, Tanya hatinya.




Andrea melangkah menghampiri penyidai dan terus  mencapai tuala sebelum berlalu ke bilik air. Agak lama dia membersihkan diri kerana semalaman di tidak mandi. Selesai mandi dan menukar pakaian, dia keluar. Ketika melalui bilik makciknya, dia berhenti seketika.
            “ Makcik nak kemana ni? Siapa pulak yang meninggal?. ” Tanya Andrea tiba-tiba sehingga mengejutkan makciknya yang sedang leka mengadap cermin.
Dia hairan bila melihat makciknya itu sudah lengkap berpakaian serba hitam tanda dia akan menghadiri satu majlis pengkebumian. Tapi persoalannya siapa kerana dia tidak mendengar sebarang berita mengenai kematian di Pekan Primrose. Makcik Jane menelan air liurnya, menarik nafas panjang sebelum bersuara.
            “ Pergi tukar pakaian sayang, kita pergi sama-sama. ” ujar Makcik Jane. Andrea mengangguk, tidak mahu bertanya lagi. Pasti nanti dia akan tahu juga siapa yang meninggal. Dia kembali semula ke biliknya menukar pakaian yang bersesuaian.




            Andrea mengerutkan dahinya, hairan bila melihat wajah-wajah sedih sahabatnya diperkarangan tanah perkuburan Pekan Primrose. Marion tidak habis-habis mengesat air mata yang mengalir dengan tisu. Sandra dan Thalia hanya mendiamkan diri.
Kepalanya digaru perlahan, puas dia cuba bertanya kepada mereka yang hadir, namun tiada sebarang jawapan yang memuaskan diterima, masing-masing hanya meminta dia bersabar.
“ Sabar? Nak sabar kenapa….bukan ada sesuatu yang buruk pun berlaku pada aku. Pelik betullah diorang ni. ” bisik hati Andrea hairan.
            “ Thalia…..Thalia ” panggil Andrea, perlahan. Thalia berpaling, dia cuba tersenyum. Sebolehnya dia tidak mahu Andrea terkejut dengan apa yang sedang berlaku tambahan pula makcik Lucy sudah menasihatkan mereka supaya berhati-hati berbicara tentang Hannah, bimbang jika itu akan memudaratkan emosi Andrea.
            “ Hannah mana?siapa yang meninggal ni?. ” Tanya Andrea bila bayang Hannah masih tidak kelihatan disitu membuatkan Thalia dan Sandra saling berpandangan. Wajah masing-masing kelihatan terkejut.
            “ Kenapa dengan korang ni….aku salah tanya ke?. ” Tanya Andrea, hairan. Thalia memandang Sandra lagi, dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Andrea.
            “ Ann….kau lupa ke apa yang jadi semalam?. ” Tanya Sandra.
            “ Semalam kan kita janji nak jumpa dekat rumah pokok, soalan apa yang korang Tanya ni. ” Tanya Andrea kembali, pelik dengan pertanyaan mereka.
            “ Kau betul-betul lupa ke?. ” Tanya Marion, berhati-hati. Andrea mengangkat keningnya.
           

“ Pelik la korang ni, aku langsung tak faham dengan apa yang korang cuba nak sampaikan ni. Hannah mana?. ” Tanya Andrea tidak puas hati, rasanya sudah banyak kali dia bertanya tentang Hannah, tapi mereka bertiga masih belum memberikan jawapan yang dia mahu.
            “ Hannah kan dah tak ada. Dia dah meninggal.  Sekarang kita sedang hadiri majlis pengkebumian dia. ” ujar Thalia, berhati-hati. Dia tidak mahu Andrea terlalu terkejut bila mendengar pengakuannya ini. Andrea mendengus, matanya tajam memandang wajah Thalia.
            “ Apa yang kau merepek ni?. ” marah Andrea, suaranya cuba diperlahannya bimbang mengganggu suasana.
            “ Ann…..semalamkan kita jumpa mayat Hannah dekat dalam hutan berhampiran Tasik Aquamarine. ” ujar Sandra pula.
            “ Korang jangan nak berguraulah. Aku tahu Hannah ada, kejap lagi dia mesti datang. ” marah Andrea.
            “ Ann….tolonglah, jangan macam ni. ” pujuk Sandra.
            “ Sudahlah…..korang memang sengaja nak takutkan aku. Aku tak nak dengar cakap korang. ” ujar Andrea, dia berlalu meninggalkan sahabatnya dengan rasa marah. Kawasan tanah perkuburan segera ditinggalkan, tidak mahu berlama-lama disitu.
Rasa kecewanya mula membaluti tangkai hati, masih terngiang-ngiang dicorong telinganya kata-kata penduduk pekan yang berbisik sesama mereka memperkatakan tentang kematian Hannah.
“ Hannah belum mati….dia belum mati lagi…..dia akan kembali semula nanti, kembali pada aku. ” jerit hati Andrea lantang.
Thalia menggelengkan kepalanya, mungkin Andrea masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan Hannah sebab itu dia bertindak demikian.

            Andrea mengayuh basikalnya selaju yang mungkin, biarpun hatinya membenarkan kata-kata Thalia, tapi dia masih tidak mahu menerima kenyataan itu. Dia tetap percaya Hannah akan kembali kepadanya, dia hanya perlu menunggu dan terus menunggu.
Senyuman terukir dibibirnya bila matanya memandang basikal Hannah yang masih tersadai ditepi pokok besar. Perlahan-lahan kakinya melangkah memanjat tangga kayu naik kerumah pokok. Beg sandang milik Hannah masih ada disitu.
            “ Aku tahu kau akan datang ke sini, kau kan tak pernah mungkir janji pada aku. Kalau kau cakap kau akan datang, kau mesti datang. ” ujar Andrea perlahan, dia tersenyum lagi.
Jari-jemarinya mengusap beg sandang milik Hannah, jam ditangan dikerling, sudah hampir pukul 12 tengahhari sekejap lagi Hannah pasti akan muncul. Gadis itu tentu sedang menyorok dimana-mana.
 Puas duduk, dia berbaring beralaskan beg Hannah sebagai bantal, dia langsung terlelap tanpa sedar hari semakin gelap sedangkan bayang Hannah masih  belum jua kelihatan.




            Makcik Jane semakin resah, jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 malam namun Andrea masih belum pulang. Dia mundar-mandir diruang tamu menanti kehadiran seseorang. Gelisah dihati kian ketara, dia tidak putus-putus berdoa semoga Andrea pulang dengan selamat.
            “ Jane….Jane ” panggil Harry, pintu diketuk kuat. Makcik Jane cepat-cepat meluru kearah pintu sebelum membukanya. Dia mempersilakan tetamunya masuk. Untung hidup berjiran, mereka saling mengambil berat antara satu sama lain.
            “ Macam mana….jumpa tak. ” Tanya makcik Jane. Pakcik Harry hanya tersenyum.
            “ Sabar….aku yakin dia selamat. Aku dah arahkan beberapa orang aku pergi cari dia. ” ujar pakcik Harry cuba menenangkan resah sahabatnya itu.
            “ Tapi dah malam ni, Ann tak pernah keluar sampai lewat macam ni tak bagitahu aku. ” ujar makcik Jane.
Thalia mengeluh, mungkinkah kata-katanya siang tadi yang menyebabkan Andrea merajuk hingga membawa diri jauh dari mereka. Dia tidak pernah berniat untuk melukakan perasaan Andrea, dia Cuma mahu gadis itu menerima kenyataan yang Hannah takkan kembali lagi.
            “ Mungkin dia merajuk pasal hal siang tadi agaknya. ” ujar Thalia. Sandra dan Marion mengangguk.
            “ Kenapa….dia ada bergaduh dengan kamu ke, pasal hal apa?. ” Tanya pakcik Harry.
            “ Dia Tanya pasal Hannah. Bila Thalia kata kita semua sedang menghadiri majlis pengkebumian Hannah, dia marah. Kata kami ni merepek yang bukan-bukan. Lepas tu dia terus pergi, kami ingat dia balik rumah. ” ujar Sandra pula. Makcik Jane mengeluh hampa, bimbang tentang keadaan Andrea.
            “ Dia mesti tak boleh terima kenyataan tentang kehilangan Hannah. ” ujar Puan Vivian Carter, ibu Thalia.
            “ Dia bukan tak boleh terima, tapi dia tak nak terima kenyataan tu. Dia masih letakkan harapan dalam hati dia yang Hannah akan kembali. ” ujar Marion.
            “ Kita tak boleh biarkan dia macam tu terus, kita kena sedarkan dia, bantu dia supaya dia terima kenyataan ni. “ ujar Puan Silvia Quinn. Makcik Jane mengangguk.
            “ Agak-agak kamu, kemana dia pergi?. ” Tanya pakcik Harry. Thalia menggigit bibirnya, berfikir.
            “ Sandra rasa Sandra tahu dia ada kat mana? ” ujar Sandra tiba-tiba.
            “ Kat mana?. ” Tanya Puan Donna Hach, ibu  Marion.
            “ Kat rumah pokok, tempat kami selalu lepak. ” ujar Sandra lagi.
            “ Kamu yakin dia ada kat sana?. ” Tanya Encik Roland Quinn, bapa Sandra. Sandra mengangguk, Marion dan Thalia juga mengangguk.
            “ Kalau begitu kita tunggu apa lagi, marilah kita kesana. Sandra…..kamu tunjukkan arahnya. ” ujar Encik Lewis Carter, bapa Thalia. Sandra hanya mengangguk, masing-masing keluar menuju ke kawasan Hutan Simpan Armalis.




Suluhan lampu picit menerangi suasana gelap dalam hutan itu. Sandra, Thalia dan Marion berjalan secepat mungkin. Hati mereka tidak putus-putus berdoa tentang keselamatan Andrea. Bunyi unggas hutan dan burung hantu yang saling bersahutan menyebabkan Marion menelan air liur, takut dan menyeramkan.




 Nafas lega dihembus perlahan bila melihat basikal Andrea masih ada disitu, namun sebak menguasai dada bila terpandang basikal Hannah disebelah. Thalia menarik nafas sedalamnya, mencari kekuatan untuk berdepan dengan keadaan itu.
“ Biar kami naik dulu, tengok dia. ” ujar Thalia sebelum memanjat tangga kayu satu persatu diikuti Sandra dan Marion. Makcik Jane mengangguk. Masing-masing menunggu dibawah, membiarkan Thalia, Sandra dan Marion memujuk Andrea.




Thalia mengesat air matanya tatkala terpandang tubuh Andrea merengkok dalam kesejukan, pantas jaket ditubuhnya ditanggalkan lalu diselimut ke tubuh  itu menyebabkan Andrea berpisat-pisat membuka matanya.
“ Hannah….” Panggil Andrea dalam keadaan mamai. Thalia menahan air mata dari jatuh. Sebak bila nama itu disebut lagi.
“ Bukan Ann, aku ni Thalia. ” ujar Thalia.
“ Korang buat apa kat sini?. ” Tanya Andrea bila terpandang wajah Sandra dan Marion yang turut berada disitu.
“ Kenapa kau tidur kat sini. Puas kami semua cari kau tadi. Makcik Jane risau tahu tak bila kau tak balik. ” ujar Thalia. Andrea tidak menjawab.
Dia bangun membetulkan duduknya. Wajah tiga sahabatnya dipandang lama, wajah mereka kelihatan sedih dan sunggul. Dia tahu kenapa, Cuma dia masih mahu menidakkannya.
“ Hannah mana?lama aku tunggu dia datang, tapi dia tak datang pun. Basikal dan beg dia masih lagi ada kat sini. Jangan-jangan dia nak main sembunyi lagi tak dengan kita. Jom kita cari dia, aku bimbang la kalau apa-apa berlaku kat dia. ” ujar Andrea, tangan sahabatnya digoncang lembut. Thalia memandang Sandra dan Marion, mengharapkan pertolongan.
“ Ann…..dengar sini, apa yang aku cakapkan ni….kau kena terima dengan hati yang terbuka. Bukan salah kau, kita atau Hannah. Tapi  apa yang berlaku adalah takdir. ” ujar Sandra. Andrea merenung mereka tajam.
“ Apa yang korang nak cakapkan ni?. ” Tanya Andrea, tidak faham. Marion memegang kedua-dua pipi Andrea. Nafasnya ditarik perlahan.
“ Hannah dah tak ada, dia dah meninggal. Pagi tadi kita baru saja hadiri majlis pengkebumian dia. Hannah dah tinggalkan kita dan dia takkan balik lagi. ” ujar Marion. Andrea menggeleng, dia bergerak menjauhi mereka bertiga. Telinganya ditutup kemas, tidak mahu mendengar omongan mereka.
“ Korang bohong…..aku tahu dia ada. Korang saja nak tipu aku kan. ” tangis Andrea. Thalia menarik tubuh Andrea lalu dipeluk erat, belakang gadis itu digosok, cuba meredakan tangisan.
“ Aku tahu kau sedih, kami pun sedih. Tapi kita tak boleh menolak apa yang dah berlaku, masa takkan mundur kebelakang. Kita mungkin dah kehilangan Hannah, tapi kau masih ada kami. ” ujar Thalia. Sandra dan Marion mengangguk, mereka berpelukan.
“ Kita akan sama-sama harungi semua, sama-sama beri semangat dan menyokong. Aku tahu kita boleh hadapi semua ni, aku yakin. ” ujar Sandra. Andrea tetap mengelengkan kepalanya, masih tidak mahu menerima kenyataan itu.
“ Hannah….baliklah, baliklah semula. Tunjukkan pada semua yang kau masih ada. Tolonglah jangan tinggalkan aku. Jangan mungkiri janji kau pada aku, balik la Hannah. ” jerit  Andrea kuat, menambahkan  rasa sebak dalam hati Thalia, Sandra dan Marion. Rindu mereka tak akan mungkin terurai lagi, Hannah pergi membawa bersama kasih mereka.

Tangisan Andrea yang memecah kesunyian membuatkan makcik Jane segera menghampiri tangga kayu. Baru sahaja dia ingin melangkah naik , pergerakannya  tiba-tiba dihalang seseorang.
“ Biarkan dia…..kita tunggu je kat bawah ni. ” pujuk pakcik Harry.
“ Tapi….. ” makcik Jane tidak dapat menghabiskan kata-katanya bila ianya dipintas oleh Puan Donna Hach.
“ Betul cakap pakcik Harry tu, biar Marion, Thalia dan Sandra yang pujuk Ann.  Lagipun mereka tahu bagaiman cara untuk memujuk Ann.” ujarnya. Makcik Jane mengangguk, dia kembali duduk diatas tunggul kayu menanti mereka semua turun kebawah.
“ Bersabarlah duhai anakku…..bukan hanya kamu saja yang kehilangan, ada orang lain yang lebih merasai kehilangannya. Kuatlah anakku, bangun dan binalah semula semangatmu. ” bisik hatinya perlahan.
“ Lihat lah Hannah, sahabatmu itu masih tidak dapat menerima kenyataan, bantulah dia sayang untuk hadapi erti kehilangan kamu seperti mana ibu dan ayah sudah mula belajar menerimanya dengan hati yang terbuka. ” bisik hati kecil Puan Jenny Brown sambil mengesat air matanya yang kian laju menitis.
Hannah sendu mendengar rintihan Andrea, namun apa dayanya. Dia tidak dapat memujuk sahabatnya itu, dia tidak lagi wujud, jasadnya sudah selamat bersemadi dan rohnya juga akan pergi bila-bila masa.
“ Maafkan aku Ann…aku tidak mampu menunaikan janji aku pada kau. Berhentilah berharap, aku takkan kembali lagi kepangkuan kau. Kau perlu hidup  biarpun hanya dengan berbekalkan kenangan kita, selamat tinggal Ann, Thalia, Sandra, Marion….selamat tinggal semuanya. ” bisik Hannah perlahan lantas menghilang bersama cahaya bulan yang menerangi malam sepi.

Andrea turun perlahan-lahan diikuti Thalia, Sandra dan Marion. Sebaik kakinya menjejak tanah, dia terus meluru ke dalam dakapan makcik Jane sambil menangis membuatkan setiap mata yang memandang turut sama mengalirkan air mata.
“ Ann…..Jangan menangis lagi. Hannah tentu tak suka kalau dia tahu Ann tak relakan pemergian dia. Kalau makcik boleh terima kenyataan tentang pemergian dia, Ann tentu juga boleh kan. ” pujuk Puan Jenny Brown, ibu Hannah.
“ Hannah selalu cakap….Ann kuat, jadi buktikan pada kami semua, Ann memang seperti apa yang Hannah cakap. ” ujar Encik Howard Brown, bapa Hannah.
“ Tapi kenapa dia, Hannah tak pernah sakitkan hati sesiapa. Dia baik. Kenapa pembunuh tu bunuh dia. Apa salah Hannah pada dia?. ” Tanya Andrea tidak berpuas hati.
“ Sayang…..itu dinamakan takdir. Kita tak boleh lawan takdir. ” ujar Encik Howard Brown lagi.
“ Kalaulah Ann cepat, kalaulah Hannah tak datang awal…..tentu semua ni takkan berlaku. Tentu kami takkan kehilangan dia. ” ujar Andrea lagi, air matanya dikesat.
“ Kalau masa boleh diundur kebelakang semula, Ann sanggup jual nyawa Ann, biar hayat Ann dipendekkan 10 tahun sekalipun, asalkan Hannah kembali. ” ujar Andrea. Masing-masing terdiam mendengar butir bicara Andrea, emosinya mungkin terganggu jadi dia tidak sedar apa yang dituturkannya.
“ Sudah lah…..kita lupakan apa yang berlaku, menangis air mata darah sekalipun takkan dapat bawa Hannah balik pada kita semula. Mari kita balik. ” ajak Puan Jenny. Masing-masing mengangguk lalu meninggalkan rumah pokok yang menyimpan banyak kenangan Hannah.
Andrea mengesat air matanya yang masih mengalir, ekor matanya seolah-olah dapat melihat kelibat Hannah duduk dibuaian, tersenyum dan melambainya. Sebaik sahaja dia berpaling kearah buaian, tiada bayang Hannah disitu, hanya buaian yang bergerak perlahan, berayun sendiri.
Thalia segera menghampiri Andrea bila melihat gadis itu berhenti dipertengahan jalan. Lengan Andrea dipaut lembut, tangan ditarik  agar kakinya melangkah semula

Sabtu, 3 Mac 2012

GERHANA CINTA LUKA 2


EPISODE 2
Andrea bersiul kecil, kayuhannya agak perlahan. Dia tidak mahu terburu-buru mengejar waktu lagipun jam ditangan masih menunjukkan pukul 4.30 petang, bermakna dia punya masa setengah jam sebelum waktu yang dijanjikan untuk sampai ke rumah pokok.
Tangannya didepa, basikalnya agak laju menuruni bukit kecil, angin bertiup lembut, membuai rambutnya. Sebaik sampai disimpang jalan masuk menuju ke kawasan rumah pokok, Andrea mempercepatkan sedikit kayuhannya.  Cahaya mentari  memancar masuk dari celah-celah daun pokok, menterjemahkan pelbagai imej pada permukaan tanah.




Dari jauh kelihatan basikal Hannah tersadai ditepi pokok, dia tersenyum lantas dipercepatkan lagi kayuhannya menghampiri rumah pokok. Basikalnya dipakirkan ditepi pokok bersebelahan dengan basikal milik Hannah.
Tempat duduk basikal berwarna pink itu ditepuk perlahan, buaian yang berayun dipandang sepintas lalu, pasti Hannah baru selesai berbuai dan menyanyi seperti selalu. Tangga kayu dihampiri dengan berhati-hati, niatnya mashu mengejutkan Hannah.


            Satu persatu anak tangga kayu dipanjat naik menuju ke atas rumah pokok. Kepalanya dijenguk kedalam, tiada kelibat Hannah disitu yang ada hanyalah beg sekolahnya. Andrea mengetap bibirnya, hairan.
            “ Mana pulak Hannah ni, mesti dia nak main sembunyi lagi. Macam budak-budak la. ” bisik Andrea perlahan, bibirnya melakar senyuman. Dia melangkah turun semula ke bawah.
            “ Hannah…..keluarlah, jangan sembunyi lagi. Aku malas nak cari kau ni. Cepat la keluar. ” jerit Andrea, suaranya kuat memecah kesunyian hutan.
            “ Hannah…..jangan la main-main lagi. Aku ada bawa sandwish ni, mari kita makan sama-sama. ” jerit Andrea lagi namun panggilannya tidak bersahut. Dia mengeluh.
            “ Aku bagi kau masa sepuluh minit untuk keluar, kalau tak aku pergi. ” ujar Andrea mengugut. Dia memeluk tubuh, kakinya dihentak perlahan ke permukaan tanah.




            Sepuluh minit berlalu namun bayang Hannah masih jua tidak kelihatan. Andrea bangun, resah mula bertamu.
            “ Hannah…..jangan takutkan aku, keluar cepat. ” panggil Andrea lagi tapi panggilannya langsung tidak bersahut.
            “ Ann…..kenapa?. ” tanya Thalia tiba-tiba. Andrea berpaling. Thalia, Sandra dan Marion sudah menyorong basikal masing-masing menghampirinya.
            “ Hannah ni la, main sembunyi pulak, puas aku panggil tapi dia tak nak sahut pun panggilan aku. ” adu Andrea. Thalia tersenyum, bahu Andrea ditepuk lembut.
“ Tak apa kita cari sama-sama. Dia mesti sembunyi tak jauh dari rumah pokok. Kejap lagi kita mesti jumpa dia. ” ujar Thalia. Sandra dan Marion mengangguk, mereka berjalan beriringan sambil melaung nama Hannah.




            Andrea berhenti melangkah sebaik sahaja mereka sampai kawasan berhampiran Tasik Aquamarine. Bunyi kicauan burung memecah kesunyian, permukaan tasik beralun tenang. Andrea memandang wajah Thalia, tiada senyuman disitu. Hatinya dipagut rasa bimbang, memikirkan sesuatu yang buruk mungkin sudah berlaku.
            Mata mereka meliar memerhatikan kawasan sekitar mencari kelibat Hannah namun bayangnya masih jua tidak kelihatan. Mereka hampir berputus asa sehinggalah Marion melaung nama mereka kuat.
            “ Ann….lia….sini cepat. ” panggil Marion. Andrea dan Thalia cepat-cepat menghampiri Marion.
            “ Apa?. ” Tanya Andrea dan Thalia serentak.
            “ Ini kasut Hannah kan. ” Tanya Marion. Andrea cepat-cepat mengangguk. Dia cukup kenal dengan kasut putih berbunga merah itu.
            “ Mana kau jumpa?. ” Tanya Andrea.
            “ Aku jumpa kat situ. ” ujar Marion sambil menunjukkan kearah sebatang pokok tumbang.
“ Kat sini ada sebelah lagi. ” jerit Sandra pula. Andrea, Thalia dan Marion berlari kearah Sandra. Masing-masing saling berpandangan. Jantung Andrea tidak berhenti-henti berdengup kencang. Mereka menyusuri, denai kecil mencari pertunjuk lain.
            “ Gelang Hannah. ” ujar Andrea, gelang manik berwarna putih itu disua kearah Thalia, Sandra dan Marion. Kelopak matanya mula bergenang, dia sudah mula memikirkan perkara yang bukan-bukan.
            “ Jangan menangis Ann…..mungkin Hannah terjatuh, mari kita terus cari dia. Kalau tak jumpa jugak, kita minta tolong pakcik Harry. ” pujuk Thalia. Andrea mengangguk. Mereka terus menyusuri denai kecil yang membawa mereka sehingga ke kawasan hujung tasik.
            “ Macam mana ni, tak ada pun. Hari dah hampir gelap ni. ” ujar Andrea. Thalia mengosok lembut bahu gadis itu, cuba menenangkannya.
            “ Kita cuba cari lagi….kalau tak jumpa jugak, kita pergi minta tolong pakcik Harry, ok. ” ujar Sandra. Masing-masing mengangguk lalu berpecah.




            Andrea menghampiri sebatang pokok tumbang, gerak hatinya seolah-olah memandunya kesitu. Kepalanya dijenguk, Andrea menekup mulutnya, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Batang kayu besar itu  segera dipanjat.
            “ Hannah… ” jerit Andrea kuat sehingga mengejutkan Thalia, Sandra dan Marion. Mereka bertiga pantas berlari menghampiri Andrea yang sudah terduduk.
            Kepala Hannah sudah berada dalam pangkuan Andrea, air mata mereka menitis, tatkala melihat sahabat mereka sudah tidak bergerak. Cepat-cepat jeket yang dipakai mereka ditanggalkan lalu diselimut pada tubuh Hannah.
            “ Marion….. Sandra..…pergi panggil pakcik Harry dan Makcik Lucy cepat. ” arah Thalia bila melihat Andrea langsung tidak bersuara. Mereka berdua mengangguk lalu beredar meninggalkan  Thalia dan Andrea yang masih memangku dan memeluk Hannah kejap.




            Suasana di Hutan Simpan Armalis yang sedari tadinya sunyi bertukar menjadi hingar-bingar. Hampir separuh penduduk Pekan Primrose berkumpul disitu. Andrea langsung tidak mempedulikan keadaan itu, dia seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.
            “ Ann sayang…..bagi makcik periksa Hannah dulu. ” pujuk makcik Lucy. Andrea masih berkeras, langsung tidak membenarkan sesiapapun menyentuh tubuh Hannah.
            “ Jangan sentuh dia. ” ujarnya marah. Thalia mencapai tangan Andrea, mengusapnya lembut. Jari –jemarinya memaut dagu Andrea.
            “ Lepaskan Hannah…..Ann, lepaskan dia. Kita tak boleh biarkan dia macam ni. Kasihan dia Ann. ” pujuk Thalia lalu menarik tangan itu dan memeluk tubuh itu erat. Pantas kepalanya diangguk perlahan pada makcik Lucy.




Saat tubuh Hannah diangkat keluar oleh pakcik Harry, Andrea bangun dan menjerit sekuat hati, mengejutkan mereka-mereka yang berada disitu.
            “ Jangan pergi Hannah…..jangan tinggalkan kami.  “ jeritnya dengan juraian air mata membahasi pipi. Thalia, Marion dan Sandra pantas memeluk Andrea kemas, mereka turut mengalirkan air mata, menangisi pemergian Hannah yang penuh tragis.
Jeritan Andrea masih lagi kedengaran walaupun sayup-sayup, rontalannya juga semakin kuat, dia cuba melepaskan diri dari pelukan Thalia, dia mahu mengejar Hannah yang semakin jauh meninggalkannya.
 Andrea tidak sempat mencapai tangan Hannah, hanya gelang tangan gadis itu yang sempat ditarik dari pergelangan tangan sebelum jatuh pengsan.




            Makcik Jane menghampiri sahabatnya Lucy yang baru turun dari bilik Andrea. Ditariknya tangan  itu, mengajaknya duduk sambil menikmati teh panas. Hujan yang turun lebat menjadikan suasana sedikit dingin.
            “ Ann macam mana?. ” Tanya makcik Jane.
            “ Dia mengalami trauma, mungkin terkejut dengan apa yang berlaku pada Hannah. Aku dah bagi ubat tidur pada dia, biar dia berehat. ” ujar makcik Lucy, dia merupakan seorang doktor di Pekan Primrose. Makcik Jane hanya mengangguk.
            “ Entah macam mana dia nak hadapi kehilangan Hannah, antara mereka berempat, Ann lebih rapat dengan Hannah. ” ujar makcik Jane. Makcik Lucy mengangguk.

            “ Kasihan Ann, dia baru nak pulih dari trauma kehilangan ibubapanya dulu, sekarang terpaksa melaluinya sekali lagi. Aku bimbang dengan keadaan dia. ” ujar makcik Jane lagi. Makcik Lucy mencapai tangan sahabatnya itu, memintanya bersabar.
            “ Macam mana hasil bedah siasat Hannah?. ” Tanya makcik Jane.
            “ Dia meninggal akibat dijerut dengan tali, tambahan pula mulutnya disumbat dengan kain. ” ujar makcik Lucy.
            “ Harry dah tahu siapa yang melakukannya?. ” Tanya makcik Jane lagi. Makcik Lucy menggeleng.
            “ Dia masih lagi menyiasat, tapi aku tak yakin kalau pembunuh tu masih ada kat pekan ni lagi. ” ujar makcik Lucy. Makcik Jane mengangguk, dia juga berfikir demikian.
“ Aku nak balik dulu, kau rehatlah. Pasal Ann…..kau jangan bimbang sangat, esok dia akan pulih semula. Kalau ada apa-apa, kau cepat-cepat hubungi aku. ” ujar makcik Lucy seraya menghabiskan minumannya sebelum bangun.
Makcik Jane hanya mengangguk, dia sudah tidak berdaya untuk berkata-kata.  Sebaik sahabatnya itu beredar, dia terus melangkah naik menuju ke bilik Andrea.




Pintu bilik Andrea dikuak perlahan, kakinya melangkah menghampiri katil peraduan Andrea. Deru nafas gadis itu kedengaran jelas di telinganya. Makcik Jane melabuhkan punggungnya dibirai katil, pantas tangannya mengusap lembut rambut anak saudara kesayangannya itu.
Rasa kasihan semakin mencengkam kuat dadanya. Sudahlah mereka berdua baru sahaja kehilangan Alisya dan John, ibubapa Andrea kira-kira dua tahun yang lalu, kini Andrea sekali lagi melalui perkara yang menyakitkan itu.
“ Kasihan anakku….baru hendak belajar bergembira, tapi sekarang terpaksa melalui perjalanan yang menyakitkan sekali lagi. Tidur la sayang, semoga esok semuanya akan pulih seperti biasa. ” bisik makcik Jane perlahan lalu mencium dahi Andrea beberapa kali sebelum keluar meninggalkan gadis itu.

GERHANA CINTA LUKA 1

EPISODE 1
    Andrea Elissa Carlson membetulkan pakaiannya, rambutnya yang panjang dan beralun diikat kemas mengggunakan pengikat rambut berbentuk rama-rama, hadiah dari Hannah. 
Dia tersenyum, puas hati dengan penampilannya hari ini biarpun dia hanya bergaya ringkas dengan kemeja biru bercorak kotak dan jeans lusuh.  Beg sandangnya dicapai sebelum disangkut dibahu.




            Andrea berlari turun ke tingkat bawah, jam ditangan sudah menunjukkan hampir pukul 8.35 pagi dan itu bermakna dia sudah terlewat lima minit dari waktu yang dijanjikan.
            “ Kepalanya dijenguk diarah dapur, mencari bayang makciknya. Dia tersenyum bila melihat makcik Jane sedang tekun membancuh minuman. Pantas kakinya melangkah menghampiri makcik Jane.
            “ Makcik…..Ann pergi dulu ya. Nanti kita jumpa kat sekolah. ” ujar Andrea sambil mencium pipi makcik Janenya.
            “ Tak nak sarapan dulu?. ” Tanya makcik Jane. Andrea menggeleng.
            “ Dah lambat la, nanti mereka tertunggu-tunggu pulak. ” ujar Andrea sambil tersenyum. Wanita itu hanya mengangguk. Sekeping roti sempat dicapai Andrea sebelum keluar.
            Andrea menyorong basikalnya keluar dari garaj menuju ke pintu pagar, angin yang bertiup lembut menyebarkan haruman bunga rose ke segenap ruang.
Sebaik sampai di hadapan pintu pagar kecil, kepalanya dijenguk kedalam peti surat, ada sekeping nota terselit disitu membuatkan dia tersenyum. Tangannya pantas membuka pintu kecil peti surat lalu dicapai nota itu.
-watch your back…..something bad might happen, today -
           
Andrea menggelengkan kepalanya, sudah beberapa kali dia menerima ancaman begini namun dia tidak pernah mengambil peduli. Entah siapa yang cuba mempermainkan dia, dia sendiri tidak pasti. Dia buat tidak peduli dengan ancaman itu yang baginya hanya satu permainan manusia yang cemburukan kebahagiaan orang lain.     




Basikalnya dikayuh laju menuju ke simpan jalan, dari jauh dia melihat empat gadis sebayanya sedang menunggu. Tangan diangkat dan dilambai.
“ Sorrylah aku lambat.. ” ujar Andrea meminta maaf, cuping telinganya dipegang, tanda rasa bersalah.
“ Tak apa….kami pun baru sampai. Mari kita pergi sekarang, nanti lewat pulak. ” ujar Hannah. Andrea, Thalia, Sandra dan Marion mengangguk. Mereka segera berlalu menuju ke Sekolah Tinggi Primrose.



Hari ini merupakan hari majlis tamat pengajian bagi pelajar-pelajar gred 12 Sekolah Tinggi Primrose. Masing-masing akan dianugerahkan Sijil Tinggi Pengajian setelah 4 tahun bertungkus lumus belajar. Selepas ini mereka semua akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.




            Andrea tidak jemu-jemu menekan punat kameranya, merakam gambar 4 sahabat akrabnya dalam pelbagai gaya menarik. Hampir kesemua sudut yang dirasakan cantik menjadi lokasi pergambaran mereka.
Hannah Brown, Thalia Carter, Sandra Quinn dan Marion Hach tersenyum gembira saat gambar mereka diambil sementara Andrea pula lebih suka menjadi jurugambar.
Dia mahu mengasah bakat yang ada didalam dirinya sambil mempraktikkan teknik yang betul seperti yang pernah dibaca melalui buku sebelum ini.
            “ Ann….jomlah kita ambil gambar sama-sama. Lagipun kita jarang ada gambar berlima. Asyik kami berempat saja yang jadi model. Pergilah minta tolong sesiapa yang boleh ambilkan gambar kita. ” ujar Hannah. Andrea tersenyum.
            “ Tak apalah….biar aku jadi jurugambar saja. Lagipun aku tak minat nak bergambar, aku lebih suka ambil gambar. Korang sendiri pun tahukan. ” ujar Andrea menolak.
            “ Ala….bila lagi kita nak jumpa peluang macam ni, nanti kita semua dah nak berpisah. ” pujuk Hannah, Andrea tersenyum.
            “ Bukan jauh mana pun…..bila time cuti semesta, kita boleh jumpa lagi. ” ujar Andrea, masih tidak mahu mengalah.
            “ Sekali saja….kami janji, lepas ni kami takkan paksa kau ambil gambar lagi. ” ujar Thalia. Andrea mengangguk.
            “ Ok….tapi lain kali ya. ” ujar Andrea sambil ketawa membuatkan Sandra mendengus. Payah betul mahu mengajak gadis ini bergambar.
            “ Kami tak kira apa pun alasan kau untuk kali ni, kau kena jugak ikut kemahuan kami. ” paksa Marion. Andrea ketawa lagi, dia berpaling bila terasa bahunya ditepuk lembut.
            “ Ann…..pergilah join mereka, kasihan mereka. Bila lagi kamu nak bergambar bersama, lepas ni….kamu semua kan dah nak berpisah. Jangan suka hampakan harapan orang, tak elok. Pergilah biar pakcik yang ambilkan gambar kamu berlima. ” ujar Pakcik Harry membuatkan senyuman dibibir Andrea mekar, segera dia menghampiri sahabat-sahabatnya itu.
            “ Oklah…oklah, kali ni saja tau. Lepas ni jangan paksa aku buat sesuatu yang aku tak suka lagi. ” ujar Andrea mengalah akhirnya.
            “ Macam tu lah. Bukan selalu kan kau jadi model. Sepanjang kita kenal, rasanya ini baru kali ke 4….kau bergambar bersama kami. Selebihnya hanya nampak wajah aku, Hannah, Thalia dan Marion je dalam gambar. ” ujar Sandra.
            “ Kau sendiri pun tahu aku memang tak suka bergambar, semua gambar-gambar aku tu diambil secara paksa rela tau. ” ujar Andrea, dia ketawa kecil.
            “ Ooo….jadi selama ni kau tak ikhlas la ya. ” ujar Thalia, marah-marah sayang. Matanya menikam tajam anak mata Andrea, tetapi gadis itu langsung tidak menunjukkan rasa takut. Malah masih boleh tersenyum dan ketawa. Bahu Thalia ditepuk lembut beberapa kali.
            “ Ikhlas…..tapi bukan sepenuhnya. Separuh je, yang lain tu sebab paksa rela korang. ” ujar Andrea selamba. Dia mengaduh sakit bila bahunya dicubit lembut oleh Thalia.
            “ Ada pulak macam tu. ” ujar Sandra. Andrea mengangguk. Hannah ketawa.
            “ Aku tak kira…..kau paksa rela ke, terpaksa ke hatta tak ikhlas sekalipun……aku tetap nak kita semua bergambar bersama-sama hari ni. Kalau kita terpaksa panjat masuk bangunan sekolah time pagar berkunci waktu malam pun, aku tetap akan pastikan kita bergambar bersama-sama. ” ujar Marion. Andrea ketawa besar, gelihati mengenangkan kata-kata Marion yang begitu bersungguh-sungguh semata-mata mahu memaksanya bergambar.
            “ Betul kata Marion tu, aku sokong sangat. ” ujar Thalia bersemangat, Sandra mengangguk setuju. Hannah menggelengkan kepala.




            Andrea berpaling bila kedengaran namanya dipanggil seseorang, dari jauh Wilma Thompsom melambai dan menghampirinya. Andrea mengeluh, apa lagi yang gadis ini mahu agaknya. Kenapa gadis ini selalu cuba menyakiti hatinya, apa yang dia tak puas hati dengan dirinya.
            “ Hem…tak ada kerja lain la ni, mesti datang nak menyakitkan hati aku lagi. Masuk kali ni dah 100 kali percubaan dia nak sakitkan hati aku. Dia ni dah boleh pecah rekod dunia ketegori perempuan paling banyak menyakitkan hati orang. ” bisik hati kecil Andrea, dia ketaw kecil.
            Senyuman tetap diukir di sudut bibirnya, walaupun Nampak tak ikhlas tapi kira oklah tak ada langsung.
            Wilma membetulkan rambutnya yang didandan kemas, wajahnya begitu cantik bersolek, mengalahkan model. Pakaiannya juga mengikut fesyen terkini dari majalah. Andrea tersenyum, jauh berbeza jika dibandingkan dengannya.
“ Hei….Ann, lepas ni kau nak sambung belajar kat mana?. ” Tanya Wilma, hujung rambutnya diulus lembut. Andrea mengerutkan dahinya, pelik dengan pertanyaan gadis itu, pasti ada sesuatu yang dirancangkan untuk menyakitkan hatinya lagi.
“ Tak pasti lagi, tapi aku nak ambil bidang fotografi. Aku nak jadi jurugambar terkenal macam Aiden Bayly. ” ujar Andrea, matanya bersinar saat dia menuturkan kata-kata itu. Siapa yang tidak kenal dengan Aiden Bayly, antara jurugambar muda yang terkenal di Alamas.
            “ Oh ya ke. Well aku harap kau berjaya. Jangan nanti kau Cuma jadi  tukang angkat kamera dah la. ” ujar Wilma sambil ketawa. Gina dan Betrice turut sama ketawa.
            “ Aku takut korang bertiga yang melopong nanti bila tengok kejayaaan Ann, mana tahu wajah dia nanti akan terpampar dalam Majalah Fashioniesta. ” ujar satu suara. Andrea dan Wilma berpaling serentak.
            “ Hai Ann… ” sapa Jack, Andrea hanya tersenyum dan Wilma memandang Andrea tajam. Dia buat-buat tak peduli dengan jelingan Wilma, bukan dia tidak tahu keobsesan gadis itu pada Jack. Wilma memang tak suka ada gadis lain yang menjadi saingan dia sekalipun dua sahabat baiknya, Gina dan Betrice.
            “ Tahniah…. ” ucap lelaki itu.
            “ Tahniah untuk kau juga. ” ujar Andrea. Jack tersenyum sehingga menyerlahkan barisan giginya yang putih tersusun.


            Jack Rich, antara jejaka rebutan di Sekolah Tinggi Primrose. Atlet ragbi sama seperti Alan dan juga merupakan pidato terbaik Antlia. Ramai gadis di pekan ini yang menaruh hati pada jejaka itu termasuklah juga Wilma.
            “ Alan mana?. ” Tanya Andrea, selalunya dia melihat Alan bersama lelaki itu dan ahli kumpulannya. Lelaki itu mengangkat bahu, tanda dia tidak tahu.
            “ Aku tengah cari dia la ni, entah kemana dia menghilang. ” ujar Jack. Andrea tersenyum.
            “ Agaknya dia tengah menyorok dari peminat-peminat yang sejak pagi tadi yang tak henti-henti kejar dia kot. ” ujar Andrea lagi, ketawa.
            “ Mungkin la tu. Oklah Ann, aku nak pergi cari dia. ” ujar Jack sebelum berlalu tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. Wilma dan teman-temannya juga berlalu meninggalkan tempat itu sebaik sahaja bayang Jack hilang disebalik bangunan kelas.




Andrea menggelengkan kepalanya dan ketawa kecil, dari jauh kedengaran suara-suara si gadis sunti sedang berusaha mengejar untuk menarik perhatian lelaki yang baru sahaja berlalu tadi.
Semenjak Gred 10 lagi, ahli pasukan ragbi sekolah menjadi tumpuan pelajar wanita, setiap hari kawasan padang sekolah dipenuhi dengan gadis-gadis dan suara jeritan mereka. Namun yang paling menjadi tumpuan adalah Alan dan Jack lantaran sikap mereka yang cukup ‘ peramah ’ terutama dengan perempuan.

Kepalanya dipalingkan kesebelah bila terasa bahunya disentuh lembut. Andrea tersenyum manis.
            “ Kau jangan dengar cakap mereka tu, kami semua yakin kau akan berjaya. ” ujar Hannah. Thalia, Sandra dan Marion mengangguk memberi semangat. Andrea masih tersenyum, dia mengajak sahabat-sahabatnya duduk di tepi padang.



           
            Andrea mengutip kudup bunga jacaranda yang jatuh menimpa kepalanya, tangannya ligat melakar sesuatu diatas rumput dengan sebatang ranting kayu ditangan.
            “ Korang pula macam mana?. ” Tanya Andrea sewaktu mereka berlima duduk mengadap antara satu sama lain dibawah pokok besar tepi padang.
            “ Aku nak jadi ahli astronomi. ” ujar Hannah. Andrea berpaling kesebelah, memandang wajah gadis itu.
            “ Kenapa?. ” Tanya Andrea. Hannah tersenyum lebar, dia mengangkat keningnya.
            “ Sebab senang untuk aku petik bintang dilangit. Nanti boleh aku hadiahkan pada korang. ” ujar Hannah sehingga mengundang tawa mereka yang lain.
            “ Hurm….habis la bintang-bintang tu semua nanti, bila kau asyik kutip je. Lepas ni langit malam kita dah tak ada bintang lagi la. ” usik Thalia. Masing-masing ketawa.
            “ Aku pulak nak jadi ahli perniagaan, nak buka kedai kat pekan ni. Aku tak nak tinggalkan pekan ni. ” ujar Thalia, mula membayangkan dirinya bergambar dihadapan sebuah cafe.
            “ Kau tak nak tinggalkan pekan ni sebab aku kan. ” ujar Alan tiba-tiba, entah dari mana dia muncul sehingga mengejutkan mereka berlima. Thalia menarik muka masam, kenapalah lelaki ini suka sangat muncul dalam waktu dia gembira, buat rosak mood saja.
            “ Sibuk je lah kau ni, pergilah main jauh-jauh. Sehari tak ganggu orang tak senang agaknya. ” marah Thalia. Alan ketawa, langsung tidak ambil hati dengan kata-kata Thalia malah dia semakin galak mengusik.
            “ Kau jangan selalu marah-marah, nanti jatuh cinta pulak pada aku. ” ujar Alan sebelum melangkah pergi meninggalkan Thalia dan kawan-kawannya.
            “ Tak ingin aku nak jatuh cinta kat kau, aku sanggup terjun Tasik Aquamarine kalau betul. ”  laung Thalia kuat, geram. Marion hanya ketawa.
            “ Jangan nanti kau tak sanggup terjun dah la. ” jerit Alan pula dari hujung padang, sahabat-sahabatnya turut ketawa, menepuk bahu lelaki itu sebagai tanda sokongan.
            “ Aku tengok korang berdua ni cute sangat, memang sesuai jadi pasangan kekasih. ” usik Sandra.
            “ Sandra…..baik kau tarik balik kata-kata kau tu, karang tak pasal-pasal aku jahit mulut tu nanti. ” marah Thalia. Sandra cepat-cepat menutup mulutnya.
            “ Korang berdua ni…..pasal hal kecil pun nak bergaduh. ” tegur Andrea. Thalia dan Sandra terdiam.
            “ Tapi ada betul juga kata Sandra tu, aku suka tengok korang berdua bersama. ” ujar Andrea. Thalia menarik muncung, tangannya disilang memeluk tubuh.
            “ Dah la….dah la, kita sambung cerita tadi. ” ujar Hannah meredakan ketegangan suasana.
            “ Korang berdua pulak macam mana?. ” Tanya Andrea.
            “ Aku nak masuk kolej masakan, nak jadi chef. Boleh aku kongsi dengan Thalia buka kedai kat pekan ni. ” ujar Sandra. Tangan Thalia digenggam.
            “ Cadangan yang baik….bertambah majulah pekan kita kalau macam ni. ” ujar Thalia. Sandra mengangguk, mengiakan kata-kata sahabatnya.
            “ Aku pulak nak jadi pereka Fesyen terkenal. Mana tahu suatu hari nanti aku dan Andrea boleh bekerjasama. ” ujar Marion. Andrea mengangguk setuju.
            “ Aku nak buka sebuah galeri untuk kongsi hasil karya aku dengan orang lain, manalah tahu kan kalau-kalau karya-karya aku nanti dibeli orang…..dapatlah aku kumpul duit banyak-banyak. ” ujar Andrea, memasang angan-angan.
            “ Kalau kau dah kaya dan jadi terkenal nanti…..jangan pulak kau lupakan kami. ” ujar Thalia. Andrea menggeleng.
            “ Takkan aku nak lupakan korang pulak. Sekalipun aku pergi jauh, aku akan tetap bawa wajah korang dalam hati aku. ” ujar Andrea.
            “ Aku berdoa semoga semua cita-cita kita akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. ” ujar Hannah. Jari-jemari mereka berlima saling taut, hati mereka berdoa menanam harapan agar impian murni mereka menjadi kenyataan suatu hari nanti.
            “ Hei….nanti kita jumpa kat rumah pokok macam biasa ya. ” ujar Hannah, masing-masing mengangguk dan bangun. Daun-daun kering yang melekat dipunggung mereka, disapu dengan tangan sebelum beredar dari situ. 




            Andrea membaca bait-bait yang tertera di kertas kecil yang dilekatkan dibahagian handle basikalnya.

            - Jauhkan diri kau dari Jack, dia milik aku –

            Matanya dihalakan ke sekeliling kawasan berdekatan, mencari gerangan siapa yang menghantar nota berbaur cemburu itu. Namun tiada siapa yang kelihatan.
Andrea menggumpal kertas itu lalu dicampakkan kedalam tong sampah, dia menyorong basikal keluar dari perkarangan sekolah untuk pulang.